Meh la join...

Cerpen Kehidupan-AirMata Abah (1)

Pak Ajis menguis kayu pangkin yang didudukinya dengan jari. Dah reput sedikit tapi masih boleh menampung berat orang. Dipandangnya susun letak kayu papan dengan teliti. Kemas dan teliti walaupun tidak secantik yang terdapat di kedai.

Hmmmm...dah 23 tahun kau berjasa, tapi tiada siapapun yang menghargai jasa engkau. Riak wajahnya menunjukkan kesedihan. Tangannya, walaupun dah berkedut dan semakin menonjolkan tulang rangkanya, masih kuat melakukan kerja-kerja rumah.

Setelah penat mengemaskan taman bunganya yang semakin berseri dengan pelbagai jenis bunga dan pokok renek, Pak Ajis akan berehat seketika di pangkin kayu buatannya yang terletak di bawah pokok rambutan yang rimbun dengan dedaun menghijau.

Begitulah setiap hari Pak Ajis menghabiskan sisa hidupnya yang semakin meniti senja. Kudratnya yang tidak seberapa, sudah tidak mampu untuk bekerja. Majikan pun tidak mahu menggaji warga emas sepertinya walaupun hanya menjadi pengawal keselamatan.

"Lu sudah tak kuat ma...kalau itu olang jahat datang aaa, mau curi barang, lu lawan...lia satu kali hantam sama lu aaa, masuk hospital sapa susah? Aiya, tak bole la...wa mau cari orang yang kuat jaga ini stor." Itulah jawapan yang diterima Pak Ajis ketika dia memohon jawatan di Kilang Papan Soon Huat sebagai pengawal keselamatan selepas berhenti kerja sebagai penyelia di Kilang Plastik Mei Mei selama 34 tahun.

Seramai 20 orang pekerja kilang itu telah ditawarkan VSS (Skim Perberhentian Sukarela) termasuklah Pak Ajis. Gaji akhir yang diterimanya didarab dengan tempoh dia berkhidmat di syarikat itu membuatkan Pak Ajis mula merancang wang yang akan diterimanya.

*****

" Waaahhh, Pak Ajis dah jadi orang kaya baru la dikampung ni!" Lebar senyuman Pak Ajis bila di puji Bedul ketika bersarapan roti canai dan teh tarik di warung Tok Wan. Bedul yang baru tiba duduk bersebelahan Haji Man.
'Wan, macam biasa." laung Haji Man pada Tok Wan yang sedang membancuh teh tarik.

"Banyak ke dapat Ajis?"Tanya Haji Man memandang dengan penuh minat. "Boleh le kamu pergi Haji hujung tahun ni." Sambung Haji Man lagi.

"Banyak tu idak ler...tapi bab pergi haji tu, Insya-Allah, minggu depan aku nak pi Tabung haji daftar dengan orang rumah kat KL nun. Ada nada gembira dalam bicara Pak Ajis. Teh tarik dan roti canai telur yang dipesan Haji Man sudah tiba. Aromanya menaikkan selera dan mambuatkan Bedul terliur.

"Pak Ajis, belanja la kitorang roti canai hari ni,"sampuk Beduk, mana la tau dapat makan free pulak dia hari tu. Jimat sikit duit dia, boleh la dia simpan untuk masa depan.

"Huishh kamu ni! Asal orang ada duit je, mintak belanja. Asal orang untung sikit je, mintak belanja."

"Hehehe...idak lerr selalu Pak Man ooiii....baru la hari ni saya nak mintak Pak Ajis belanja. Bukan luak pun duit yang berkoyan tuh." Jawab Bedul tersengih lebar sambil mengelak tubuhnya dari disiku Haji Man.

Pak Ajis segera melambai Tok Wan yang sedang menyusun bungkusan nasi lemak di meja makan. "Wan, kau bagi apa yang si Bedul ni nak makan hari ni. Nanti kau kira semuanya sekali, aku belanja hari ni."Tok Wan mengangkat ibu jari tanda bagus.

Kata-kata Pak Ajis diiringi dengan sorakan kegembiraan beberapa orang kampung yang berada di gerai Tok Wan.

"Tok Wan, saya nak Milo ais tapi ais kurang ye...!" laung Bedul sambil mencapai 3 bungkus nasi lemak yang menjadi kegemarannya.

Pappp!!

"Aduuhhhh...sakit la Pak Wan.." tangannya menggosok-gosok kanan kepalanya yang ditepuk oleh Haji Man. Nasib baik nasi lemak yang dipegangnya tidak jatuh bertaburan.

"Aku tau le Pak Ajis kau bermurah hati nak belanja makan hari ni, tapi yang kau ni macam dah sepuluh hari tak makan apasal? Kot iye pun, jangan le gelojoh na..."

"Hehehe....takde le Pak Man, saya ambik 3 ni untuk makan tengahari dan malam sekali," ujarnya disambut gelak tawa Pak Ajis dan Haji Man.

******

Hatinya kecewa. Apa yang akan terjadi pada dirinya? Siapa yang nak menanggung makan minum dia dan isteri? Nak harapkan anak-anak, mereka pun bukannya senang. Kadang-kadang bila tak cukup duit mereka akan meminta pada Pak Ajis.

"Hai bang, termenung jauh nampak!"

"Hmmmmmm....." Pak Ajis menyambut dulang yang berisi dua cawan kopi dan kuih seri muka yang menjadi kegemaran Pak Ajis. Wajah isteri yang sentiasa tenang dipandang dengan penuh kasih sayang. Mak Su tersenyum sambil menyua piring kuih.

Kuih seri muka diambil dan disuap ke mulut. Perlahan Pak Ajis kunyah dengan gusi dan gigi yang hanya tinggal beberapa batang. Untuk memakai gigi palsu dia tak betah. Sebab tu isteri Pak Ajis, Mak Su hanya memasak dan membuat kuih yang lembut dan boleh dimakan Pak Ajis.

Bila dah tua ni, banyak sangat pantang larangnya. Karipap atau popia yang rangup pun dia taknak. Bila Mak Su masak lauk daging dan ayam langsung tak disentuh, susah nak kunyah katanya. Ikan pula hanya ikan sungai yang dimakan oleh Pak Ajis. Itupun kalau dimasak lemak cili api. Mau ditambah nasi dua tiga pinggan,memang berselera Pak Ajis dibuatnya. Lagipun bukan senang nak dapat ikan sungai sekarang ni. Kalau tidak kerana si Bedul yang rajin memancing di sungai Kilau hujung kampung ni, tak dapat la Pak Ajis nak merasa. Sanggup dia makan lauk ikan masin dengan sambal belacan je.

"Tadi anak awak telefon...." Pak Ajis memandang Mak Su sambil menghirup kopi yang sudah suam. 

"Nak pinjam duit katanya...." sambung Mak Su lagi bila dilihat Pak Ajis hanya mendiamkan diri.

"Tapi, saya dah bagitau kat Amin yang awak tak ada duit sekarang ni,"

"Habis, dia cakap apa?"

"Hmmmmm...anak awak tu, mana dia nak percaya. Dia tanya mana pergi duit yang awak dapat tu." Ujar Mak Su lagi. Dia perasan ada kerut di dahi suaminya. Kasihan dia melihat suaminya itu. Lepas satu, satu masalah yang timbul.

Mak Su masih ingat lagi ketika dia dan suaminya pergi ke bank untuk keluarkan duit sebanyak RM25 ribu. Duit itu dikeluarkan untuk di masukkan semula ke dalam akaun Tabung Haji Pak Ajis dan Maksu. Tapi malangnya ketika mereka sedang menahan teksi untuk ke Tabung Haji, datang sebuah motor dari arah yang bertentangan meragut beg yang dipegang oleh Pak Ajis. Pak Ajis cuba menarik semula beg itu tetapi gagal malah peragut itu menolak Pak Ajis pula.

Pak Ajis tercampak ke tepi longkang nyaris masuk ke dalam longkang yang agak dalam. Tangan, siku dan kakinya berdarah. Mak Su panik melihat keadaannya itu. Dia tidak peduli tentang duitnya yang kena ragut. Fikirannya hanya pada Pak Ajis, duit boleh di cari tapi suaminya itu adalah satu-satunya tempat Mak Su bergantung kasih. Mak Su mula menangis dan menjerit meminta orang membantu suaminya yang cedera parah. Beberapa orang pemuda yang kebetulan lalu disitu mengejar peragut dengan menggunakan motor.Teksi yang ditahan Mak Su tadi berhenti memberi bantuan, pemandunya menolong mengangkat Pak Ajis masuk ke dalam teksi lalu dihantar ke klinik.

Alhamdulillah kecederaan Pak Ajis tidak teruk sangat. Pak Ajis masih kuat walaupun jalannya tempang. Dia gelak kecil melihat Mak Su menangis tersedu-sedu melihat keadaan Pak Ajis seolah-olah Pak Ajis cedera teruk.

"Udah le tu, malu la kat orang....Sayang jugak awak pada saya ye," usik Pak Ajis pada Mak Su yang masih tersedu.

"Awak tu, sampai hati nak tinggalkan saya sorang-sorang. Tak kesian kat saya ke?" tanya Mak Su dalam sendunya. Tangan Mak Su ditarik lalu dikucup lembut. Terharu Pak Ajis melihat kasih sayang Mak Su yang mendalam padanya.

"Awak ni ke situ pulak. Saya ni okey je, sihat takde apa-apa masalah. Doktor pun dah cakap tadi yang badan saya ni masih kuat dan sihat walaupun umur saya dah 61 tahun." jawab Pak Ajis memujuk hati Mak Su yang masih bersedih dengan kejadian tadi.