Meh la join...

Kisah Mica dan Barni

Mica hanya memandang nasi lemak yang dimasak ibunya dengan pandangan kosong. Mak Mah pelik sebab biasanya Mica lah orang pertama yang meluru ke meja makan untuk merasai nasi lemak yang menjadi kegemarannya.. Berkerut-kerut wajah Mica seolah-olah sedang memikirkan sesuatu. Adiknya Barni sudah  menambah nasi dan sambal ikan bilis bersama ayam gorang kegemarannya tapi nasi lemak Mica masih tak luak-luak.

“Mak….,simpankan nasi lemak untuk Mica ye. Tengahari nanti Mica makan. Sekarang ni Mica tak ada selera la….” Ujar Mica seraya menuju ke sinki untuk mecuci tangan. Mak Mah hanya memerhati kelakuan Mica yang pelik. Barni turut berasa hairan dengan kelakuan kakaknya. Dengan segera dia menghabiskan nasi lemak yang berbaki dan tergesa-gesa minum air milo hingga hampir tersedak.

“Parlahan la minum tu, entah apa yang nak dikejarnya ntah,” tegur ibu Barni, menggeleng kepala melihat sikap gelojoh Barni.

Barni terus berlari mendapatkan kakaknya yang sedang berbuai di buaian bawah pokok Nangka. Buaian itu di buat oleh ayah mereka sebelum pergi bertugas di Pahang. Ayah Mica dan Barni bekerja sebagai polis hutan. Dia seringkali meninggalkan mereka dua beradik kerana perlu menjaga negara dari gangguan saki baki Komunis yang bila-bila masa boleh mengganas.


Apabila Mica atau Barni rindu kepada ayah mereka, mereka akan duduk di buaian itu sambil mengimbau kenangan bersama ayah mereka. Sudah dua bulan ayah mereka pergi. Ibu kata ayah mereka akan pulang minggu depan dan bercuti selama seminggu. Mica dan Barni tak sabar-sabar menunggu kepulangan ayah mereka.

Barni memandang Mica yang masih berdiam diri dari tadi.

“Kenapa kak? Ada masalah ke?” tangannya mencapai ranting lalu menguis-nguis pasir dengan kasar , hampir-hampir  pasir tu mengenai kaki Mica. Mica menjeling Barni seolah marah dengan perbuatan Barni. Dia masih berdiam diri. Tak tau nak bercerita pada Barni atau tidak. Akhirnya Mica bersuara.

“Malam tadi kan……”Mica terdiam seketika. Tangan Barni berhenti menguis pasir.

“Kenapa malam tadi?” Tanya Barni.

“Malam tadi kan, masa akak tengah tidur nyenyak, tiba-tiba akak terjaga…”  Mica menghentikan lagi ayatnya.

“Kenapa?”

“Akak rasa macam ada orang mengusap kepala akak. Akak bukak mata perlahan-lahan,  takde sesiapa pun!” Bulu roma Mica tiba-tiba berdiri, seram dia rasa tatkala itu tapi tidak diceritakan pada Barni.

“Akak mimpi tak?” Barni membuat kesimpulan sendiri.

Geram rasa Mica bila Barni tak percaya ceritanya. Bibirnya di muncungkan ke depan.

“Kau nak dengar ke taknak ni?” Tanya Mica, marah. Tersengih-sengih Barni lalu meminta Mica menyambung ceritanya.

“Akak ingat mak yang usap kepala akak.  Rupa-rupanya bukan. Mak tidur sebelah kau!” ujar Mica perlahan.

“Habis tu sapa yang buat?” Tanya Barni pelik.

Mica masih teringat,  dia terjaga kerana terasa kepalanya seolah-olah diusap lembut oleh seseorang. Dalam remang cahaya pelita yang terletak di atas almari pakaian, matanya terpandang kearah bayangan putih berambut panjang, berhampiran tingkap memandang ke arahnya.

Masa tu Mica terasa takut sangat. Badannya meremang sejuk, kakinya lemah. Suaranya tak terkeluar untuk mengejutkan ibu yang tidur  lena di sebelah Barni.

Bayangan putih yang berambut panjang itu mengilai seketika sebelum menghilangkan diri .  Badannya yang meremang sejuk mulai panas. Kakinya sudah boleh digerakkan. Dengan pantas dia bangun mendapatkan ibunya lalu memeluk ibunya dengan kuat.

Mica cuba untuk tidur tapi matanya masih terbayang makhluk itu. Wajah makhluk itu tidak kelihatan. Kakinya juga tidak nampak. Mica segera menarik selimut lalu berselubung sehingga menutup kepala. Sedaya upaya dia membuang ingatan tentang makhluk itu.

Guruh mula berdentum menandakan hujan akan turun. Sedikit demi sedikit hujan mulai turun. Bunyi bising hujan yang menimpa zink rumah menenangkan perasaan takut Mica. Oleh kerana mengantuk sangat, Mica akhirnya tertidur di dalam pelukan ibunya hingga pagi.

Mica tidak tahu bagaimana cara untuk bercerita kepada ibunya. Dia tidak mahu membuat ibunya runsing  dengan masalahnya itu. Tambahan pula bila teringat beberapa bulan lepas, ibunya pernah di rasuk oleh makhluk halus. Itu yang membuatkan Mica hanya mendiamkan diri dan bercerita pada Barni sahaja.

“Hantu Pontianak kot kak?” teka Barni.

“Kau jangan nak main teka je ye!” Geram Mica dengan jawapan Barni itu yang makin menambahkan lagi kusut pada diri Mica.

“Manala tau kan, Pontianak ni kan ke perempuan mati beranak! Agaknya dia rindu kat anak dia…dia ingat akak ni anak dia, tu yang dia usap kepala akak tu? Hmmm….” Lagak seorang penyiasat, Barni mundar-mandir di depan kakaknya membuat kesimpulan.

Sebal hati Mica dengan kelakuan Barni. Bukan nak menenang hati orang, menambahkan masalah adalah.

“Haaaaa….! Nanti Barni tanya kat mak, rumah kita ni, berhantu ke?”  Terbeliak biji mata Mica bila mendengar cadangan adiknya itu.

“Kau jangan nak buat hal! Kalau apa-apa jadi siapa yang susah? Abah xde kat rumah, Acik pulak balik kampung. Kau tak ingat masa mak kena rasuk ari tu?” Mica mengingatkan adiknya.

Barni mengangguk-anggukkan kepala.

“Kalau macam tu kita kena siasat perkara ni. Apa kata kita tanya kak Siti  atau kak Ina?” bercahaya mata Barni memandang kakaknya yang terkulat-kulat memandang Barni.

Cadangan Barni tu agak masuk akal. Perlahan Mica menganggukkan kepala, bersetuju dengan ide Barni. Barni menghulur tangan untuk berjabat lalu disambut Mica sambil tersenyum lebar.

“Kita kena rancang baik-baik perkara ni. Jom, masuk dalam pondok, kita bincang apa nak buat lepas ni!” Ajak Mica sambil matanya meliar memerhati keadaan keliling supaya tiada siapa-siapa mendengan perbualan mereka berdua.

Bersambung…