Meh la join...

Ayah 1

 Sesampai di rumah, ku lihat ayah duduk melunjur di atas lantai marmar yang sejuk dengan hanya berkain pelikat.
 Ayah mengurut perlahan kaki ayah yang kurus keding. Disebelahnya ada minyak buah pala.
 Agaknya ayah dengar bunyi pintu di buka. Ayah memandang sejenak.
  Ayah tersenyum gembira melihat aku, suami dan cucunya tiba.
 Bingkas ayah bangun menyambut.
 Jalan ayah seperti anak yang sedang belajar tatih.
 "Haaaa....masukla. Tengok ni, kaki ayah dah kuat. "
 Aku segera bersalam sambil mengangguk-anggukkan kepala.
Suami cepat memegang tangan memimpin ayah duduk di kerusi.
 "Ayah taknak menyusahkan mak kau!  Ayah bangun sendiri, buat exercise kat tingkap. Bangun duduk, banyak kali ayah buat."
 "Alhamdulillah,  Allah tu makbulkan doa ayah. "
Airmata mengalir di pipi ayah.  Ayah kesat perlahan.
Ku perhatikan ayah. Tubuhnya walau sudah kurus tapi masih tegap dan boleh berjalan.
Baru-baru ni ayah jatuh bilik air dan kena strok kecil.
Mulut ayah herot, ayah cuba bercakap tapi kami tak faham apa yang ayah cakap.
Semua anak-anak panik.
Suamiku sentiasa mengurut seluruh tubuh ayah yang dikasihi.
Begitu juga abangnya yang sulung.
Ayah dibawa ke hospital tetapi selepas pemeriksaan dibuat,  ayah disuruh pulang.
Tiada kecederaan dalaman kata doktor.
Beberapa hari suami mengurut ayah.
Ayah pun bukan seorang yang cepat putus asa.
"Terima kasih la Jib. Kau urut ayah, jaga ayah....."
Airmata ayah mengalir lagi.
Tiada lagi perasaan malu seorang lelaki bekas pejuang melayu yang berani menentang komunis.
"Ye yah. Takpe. Dulu ayah jaga Ajib, sekarang Ajib jaga ayah pulak! "
"Ni sakit lagi tak? " tanya Ajib sambil memegang kaki ayah.
"Dah..dah xde sakit lagi. Sihat dah ni....."
Ajib bangun mengambil minyak urut didalam bilik.
"Meh duduk atas tilam Ajib urut."
Tegas suara suamiku mengarah. Maklum la telinga ayah sudah kurang mendengar.
Setiap kali nak bercakap dengan ayah kena tinggi suara.
"Kau nak urut?  Aaa yelah"
Ayah menurut arahan tanpa bantahan.