Meh la join...

Memancing........Alamak! Apa tu?- karya Zitta

Entah apa mentel si Mica dan Barni adiknya merancang untuk memancing ikan di kolam paya sebelah rumahnya. Dulu ia adalah paya, lepas tu ayah Mica korek untuk menternak ikan. Mungkin ada masalah, kolam tu terbiar macam tu saje tapi ada la beberapa jenis ikan kat kolam tu.

Mica mengarahkan adiknya mencari benang tangsi dan mata kail kepunyaan ayahnya di bawah katil sementara dia pula mencari buluh atau ranting untuk di jadikan batang pancing. Akhirnya dapat juga Mica sebatang buluh runcing lalu mengikatnya dengan tali tangsi dan mata kail. Selepas itu, mereka berdua mengambil cangkul lalu mengorek tanah di belakang rumah untuk mencari cacing.

Bukan main semangat lagi si Mica dan adiknya Barni untuk memancing ikan haruan atau ikan puyu untuk di bela. Mica menyuruh Barni meletakkan cacing di mata kail lalu menghayunkan batang pancing itu ke arah kolam.

"Hah, gerak gerak, ikan dah makan, cepat kak tarik pancing tu," riuh mulut Barni menyuruh kakaknya menarik pancing ke darat. Tak sabar dia nak tengok ikan apa yang naik. Rasa macam nak di rampas je batang pancing tu dari tangan kakaknya.




Dalam pada kelam kabut nak menarik pancing tu, Mica yang berundur ke belakang untuk menarik ikan tu naik, terjatuh terlanggar akar pokok nangka yang besar. Tali pancing terputus kerana tersangkut pada semak-semak yang terdapat dalam kolam tu.

Mica kecewa tali pancingnya terputus. Barni dengan berani masuk ke dalam paya lalu menarik perlahan-lahan tali pancing dan..........dapat pun. Air paya itu hanya paras lutut sahaja dan berselut. Habis kaki Barni di penuhi lumpur dan selut. Eeee.....geli Mica melihatnya tapi dia gembira melihat Barni menyambungkan samula tali yang putus ke batang pancing.

Mica mencampakkan mata pancing ke arah lain. Tak lama kemudian dia terasa pancingnya bagai di tarik-tarik sesuatu. Cepat-cepat dia menangkat batang pancing tinggi-tinggi.

"MAKKKKK!!! ULAR!!!!" jerit Mica. Seram sejuk badan dia. Dia nak lepaskan pancingnya tapi tak boleh. Tangannya bagaikan di gam pada batang pancing itu.

"Nak buat macam mana ni?" tanya Mica pada Barni, cemas. Geli dia nak pegang batang pancing tu seolah-seolah dia sedang memegang badan ular pula.

"Buang kat semak, cepat," kata Barni juga dalam keadaan cemas.

"Takkan nak buang dengan pancing ni pulak," kata Mica lagi. Dia dah tak tentu arah nak buat apa. Tiba-tiba Mica mendapat idea macam mana nak buang ular dari mata kail. Dia hayunkan ular tu ke kiri dan kanan. Tapi ular tu tetap taknak lepaskan mata kail.

Mica dah buntu tak tau apa nak buat. Barni hanya memandang dengan cemas, pun tak tau apa nak buat. Akhirnya Mica mendapat semangat. Dia menarik pancing ke darat bersama dengan ular tu lalu menghempas ular itu  ke tanah sekuat-kuatnya.

"Mati kau, mati kau, mati kau.....ular jahat! Orang nak pancing ikan, kau pulak yang datang," marah Mica bercampur geram.

Mica berhenti menghempas ular itu dan memandang Barni. Perlahan dia tarik ular tu dekat dengannya.

"Dik, ntah-ntah tu bukan ular. Ntah-ntah belut, kan? Mana ada belut makan cacing, ye tak?" Barni mengangguk-anggukkan kepala tanda bersetuju dengan kakaknya. Bila 'ular' itu sudah dekat, baru la Mica perasan yang itu sebenarnya bukan ular tetapi belut. Ish..ish..ish...kesian belut tu. Luka parah badan dia akibat di hempas banyak kali.
 
"Mak, mak! Meh sini jap," panggil Mica terjerit-jerit bila panggilan pertamanya tidak di dengari.

"Hah, ada apa ni?" tergopoh-gapah ibu Mica keluar mendapatkan anaknya.

"Ini belutkan?" tanya Mica dengan muka yang berseri-seri.

"Ha-ah, kenapa?" Ibu memandang Mica dengan hairan.

"Mak nak tak buat lauk?"

"Eeeeeeee.....taknak la mak. Geli nak pegang. Belum mati lagi belut ni." Jawab ibunya sambil mengusik badan belut dengan jari.

"Habis tu, nak buat apa dengan belut ni?" Tanya Mica, buntu.

"Masukkan balik dalam paya tu." Mica terdiam. Betul juga kata ibunya. Buat apa nak simpan belut, ibunya pun taknak masak. Takkan dia nak bela pulak, nak pegang pun dia geli.

"Habis.....camne nak keluarkan mata kail ni?" kesian pulak Mica tengok belut tu. Terseksa dia.

"Hish...geli la mak nak pegang. Ambik gunting je, biar la mata kail tu. Kalau ayah kau ada rumah, boleh gak suruh dia bukakkan mata kail ni," jelas ibu Mica kegelian.

"Nah, pi masukkan balik dalam paya tu. Lepas ni masuk, mandi! Jangan nak pancing-pancing lagi ikan dalam paya tu. Kang ntah apa benda pulak yang naik." kata ibu Mica cuba menakutkan anak-anaknya, biar mereka serik. Asyik buat benda yang bukan-bukan aje. Pening kepala dia nak melayan karenah dua orang anaknya itu.

Dengan muncung yang panjang, Mica dan Barni melepaskan belut dengan sedih kerana telah mendatangkan kecederaan pada belut. Kasihan dia melihat belut itu yang berenang masuk ke paya dengan mata kail yang masih lagi tersangkut di mulut.

Sejak dari itu, Mica dab Barni tidak lagi memancing di kolam paya sebelah rumahnya. Mereka dan serik dan masih menyesal dengan tindakan mereka mencederakan belut.